JAKARTA: Tentera Laut Indonesia berjaya mematahkan cubaan menyeludup 31 pekerja asing tanpa izin Indonesia di pantai timur Sumatera pada Sabtu lepas.

Pasukan petugas bersama telah menahan 15 lelaki, 15 wanita dan seorang kanak-kanak pada pukul 1 petang waktu tempatan di pantai Sepahat, Bengkalis, di Wilayah Riau, menurut Markas Tentera Laut Dumai.

"Mereka dikumpulkan di kawasan hutan bakau untuk diseludup ke Malaysia dengan bot laju," kata komander Kolonel (Tentera Laut) Karyadi Bangun dalam satu kenyataan.

Siasatan mendapati mereka dibawa oleh ejen dan telah menghabiskan masa sehari di lokasi selepas tiba di terminal Dumai dari wilayah masing-masing.

Mereka dirujuk ke Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP3MI) Provinsi Riau selepas didapati melanggar Undang-Undang Perlindungan Pekerja Migran 2017.

Karyadi menggesa pihak berkuasa tempatan agar senantiasa memantau sepanjang laluan penyeludupan dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

-- BERNAMA